Yang Setia

Sekadar Penghibur Hati

Monday, June 4, 2012

Saya Cintakan Awak Tapi Akan Berkahwin Dengan Dia

Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Mengasihi



Sudah sekian lama saya telah memendamkan perasaan terhadap awak dengan harapan bahawa kita berdua dapat bersama.Malah,saya sudah terlupa sejak bila saya mula menaruh cinta kepada awak.Masa berlalu dengan begitu pantas.

Suasana di sekeliling membuatkan cinta saya kepada awak semakin bertambah.Saya mula memasang harapan untuk menyunting awak menjadi teman hidup saya.Dan,saya tidak hanya memasang angan-angan kosong.Saya berusaha untuk menjadikan impian itu menjadi realiti.

Namun,lama-kelamaan saya menjadi semakin lalai dan usaha untuk mencapai impian manis itu mula terbengkalai.Tetapi,cinta saya kepada awak tidak pernah berubah.Tidak pernah pun tergerak hati saya untuk mencari yang lain.Aneh,kata cinta tetapi tidak berusaha demi cinta itu.Begitulah saya.



Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadamu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padamu


Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaimu
Dalam dada ku harap hanya
Dirimu yang bertakhta



Akhirnya,ujian paling getir cinta kita melanda.Walaupun di saat-saat akhir namun saya tetap gagahkan harapan dan cuba menghidupkan cinta kita yang kian pudar itu.

Alhamdulillah,dengan izin Allah SWT saya ditunjukkan jalan oleh-Nya untuk kita bersatu.Alangkah gembiranya hati saya ketika itu.Diselang seli dengan perasaan gementar dan ragu-ragu kerana kurang meyakini akan kemampuan saya untuk berpegang teguh kepada cinta kita.

Tetapi,apakan daya.Takdir Allah jua yang menentukan.Sesungguhnya hanya kuasa Allah sahaja yang mengatasi segala-galanya.Manusia hanya mampu merancang,Allah yang menentukan.

Berpunca dari kesilapan saya,cinta kita terkubur buat selama-lamanya.Pantas.Sangat pantas.Semuanya berlaku dengan begitu pantas.Saya tidak mampu berbuat apa-apa.Walaupun saya mempunyai pilihan untuk meneruskan cinta kita,tetapi demi masa depan saya,saya terpaksa melupakan segala janji-janji manis yang telah kita impikan bersama.

Dia,muncul secara tiba-tiba.Meninggalkan saya tanpa banyak pilihan.Selain menerima dia dalam hidup saya.Ahh,hati mana yang tidak perit dan sedih apabila terpaksa melupakan kekasih yang dicintai dengan sepenuh hati sejak bertahun-tahun lamanya.

Saya mula mengenali dia secara perlahan-lahan.Saya akui,agak sukar pada mulanya untuk mencintai dia kerana tidak pernah pun terdetik dalam hati saya selama ini untuk mengenali dia,apatah lagi ingin bersama!

Tetapi,sekali lagi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.Hati yang kering ini mula subur dengan cinta kepada dia.Hari demi hari,saya semakin menyukai dia.Dan berasa semakin selesa bersama dia.Banyak masa kami luangkan bersama.Pagi,petang,siang dan malam.Cinta baru mula mekar di hati saya.Tapi,saya tidak pernah melupakan awak!

Kadang-kadang,teringat juga diri ini akan kisah cinta dahulu bersama awak.Berlinangan juga air mata ini tatkala mengenangkan hasrat yang tidak kesampaian.Impian untuk bersama tidak mampu menjadi kenyataan.

Saya cuba untuk melangkah ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang lagi.Tapi,perasaan cinta terhalang itu sangat sukar untuk dilupakan.Sekali sekala saya bercerita dan berkongsi kisah itu bersama teman-teman dan sahabat-sahabat saya dengan harapan untuk mengurangkan sedikit perasaan sedih itu.

Saya sedar bahawa saya tidak boleh membiarkan diri saya terperangkap dengan kisah-kisah silam itu.Saya mesti terus bergerak ke hadapan.

Saya sudah mempunyai dia untuk saya menumpukan cinta saya.Benarlah kata-kata Iman Muda Asyraf,walaupun ada sedikit perbezaan,

Menikahi seseorang yang kita cintai itu satu kemestian,
Mencintai seseorang yang kita nikahi itu satu kewajipan.

Memang,saya sedar bahawa saya tidak mampu untuk menjamin kebahagiaan saya bersama dia.Adakah jodoh kami akan berkekalan dan sebagainya.Namun,tidak dapat tidak,saya mesti berusaha mencari kebahagiaan itu.

Dan,Alhamdulillah.Setelah mendapat restu daripada kedua ibu bapa saya serta pendapat-pendapat mereka yang rapat dengan saya,saya telah pun melamar dia beberapa bulan yang lepas.Sekarang saya masih menunggu jawapan dari dia.Mudah-mudahan segala urusan berjalan lancar.Aminn. 

Dengan ini saya mengumumkan secara rasminya bahawa saya telah pun berpisah dengan awak,Miss Medic dan akan berkahwin,jika diizinkan Allah SWT,dengan dia,Cik Undang-undang juga dikenali sebagai Miss Law.Semoga jodoh kami berpanjangan dan diberkati oleh Allah SWT.Insya-Allah.

Pemergianmu




Kau masih tersenyum mengubat lara

Selindung derita yang kau rasa

Senyuman yang mententeramkan

Setiap insan yang kebimbangan

Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita

Di pangkuan isterimu Humaira?

Menunggu saat ketikanya

Diangkat rohmu bertemu Yang Esa

Tangan dicelup di bejana air

Kau sapu di muka mengurangkan pedih

Beralun zikir menutur kasih

Pada umat dan akhirat

Dan tibalah waktu ajal bertamu

Penuh ketenangan jiwamu berlalu

Linangan air mata syahdu

Iringi pemergianmu

Oh sukarnya untuk umat menerima

Bahkan payah untuk Umar mempercaya

Tetapi iman merelakan jua

Bahawa manusia ?kan mati akhirnya

Tak terlafaz kata mengungkap hiba

Gerhanalah seluruh semesta

Walaupun kau telah tiada

Bersemarak cintamu selamanya

Ya Rasulallah

Kau tinggalkan kami warisan yang abadi

Dan bersaksilah sesungguhnya

Kami merinduimu

Friday, June 1, 2012

Jenis dan Hikmah Dalam Marah



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه



Jenis dan Hikmah di dalam Marah

Perubahan sifat dan sikap sering kelihatan apabila seseorang berdepan dengan situasi yang memungkinkan mereka menonjolkan kemarahan. Cacian dan makian tidak terhitung dek kerana tenggelam dalam nafsu amarah. Paling malang, gelojak nafsu dibiar menguasai diri hingga menghilangkan pertimbangan akal.

MARAH salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) yang dibenci ALLAH SWT dan Rasul. Marah akan menimbulkan sifat keji lain, seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Ja’far bin Muhammad berkata: “Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian).”

Marah juga adalah sifat semulajadi insani. Boleh jadi kemarahan yang ditunjukkan membawa kebaikan atau kecelakaan. Pada permulaan marah, ia bagaikan isyarat awal untuk membetulkan keadaan. Namun, apabila kemarahan didahulukan jauh daripada mengingati ALLAH, maka ia bertukar menjadi kebinasaan.

Berbeza sifatnya apabila marah dalam hal dan keadaan sesama akidah. Namun dibezakan disebabkan ketiadaan persefahaman dalam perkara-perkara khilafiah. Paling malang, apabila ada pihak yang berlebih-lebihan berprasangka sesama mukmin disebabkan suaranya tidak didengar atas urusan agama. Marah boleh menjatuhkan seseorang kepada keadaan kufur. Marah boleh jadi mengakibatkan kemusnahan “akidah”, apabila masalah khilafiah terus dibahas dalam keadaan “marah” dan tidak tahu usul agama.

Psikologi Manusia

Manakala di dalam kaedah psikologi manusia, terdapat beberapa jenis kemarahan yang berlaku di kalangan manusia. Keributan yang berlaku adalah tanpa sebarang amaran itulah yang dinamai sebagai:

a) Sudden Anger (Marah Mengejut)
-Individu yang mengalaminya mudah hilang sabar, sentiasa melahirkan “marah”, hatta dalam sekecil-kecil perkara. Namun, individu ini didapati cepat reda dan berasa menyesal. Walaubagaimnapun, alangkah indahnya apabila nafsu yang mengajak kepada kecelaan “marah” dapat dimulai dengan bacaan “Basmallah”.


b) Shame-based Anger
- Seorang yang sangat sensitif dengan suasana semasa.
- Tidak dapat tahan marah bila dikritik, diperleceh atau diketepikan. Beliau lebih gemar merasa betul atas segala tindakan tanpa penafian orang lain.

c) Deliberate Anger
- Percaya bahawa dengan menunjukkan kemarahan segala kemahuan
dan kehendak akan dipenuhi. Jenis begini tidak peduli untuk melanggar etika, undang-undang yang sedia ada asal matlamat digapai, haram katanya tidak mengapa.
- Suka memanipulasi, membuli & menguasai orang lain.
- Berpuas hati & megah sekiranya orang yang dimarahi berasa
tersinggung & sedih.

d) Addictive Anger (Ketagihan Marah)
- Menjadi ketagih untuk marah apabila berada dalam ketagihan & tidak
dapat menahan kemarahan.
- Ada kaitan dengan ketagihan arak & dadah.

Kemarahan yang meluap-luap dilupai akan memburukkan wajah pemarah, menyempitkan salur darah, disebabkan berlumba-lumbanya syaitan di dalam salur darah untuk menyucuk butir-butir kata dan tindakan penuh mazmumah. Maka lahirlah kemarahan yang disorak-sorai oleh syaitan laknatullah.

Renungilah dan hayatilah firman ALLAH SWT:
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.”
[Surah al-Syura ayat 37]

Marahnya Rasulullah Shollallahu allaihi wassalam

Suatu kisah ketika Rasulullah SAW sedang duduk ditengah-tengah para sahabat, tiba-tiba datang seorang rahib yahudi bernama Zaid bin Sa’nah. Kemudian dia menyambar kain Rasulullah SAW dan berkata dengan kasar; “Ya Muhammad! Bayarlah hutangmu. Kamu keturunan Bani Hasyim melambat-lambatkan pembayaran hutang.”

Sememangnya ketika itu Rasulullah SAW berhutang dengan yahudi tersebut. Tetapi Rasulullah mengerti bahawa masa yang dijanjikan untuk membayarnya belum sampai. Melihatkan keadaan sebegitu, Saidina Umar r.a lalu bangun dan menghunus pedangnya. “Wahai Rasulullah SAW, izinkan aku memenggal leher manusia yang kurang ajar ini.”

Namun, dengan penuh kelembutan dan ketenangan Rasulullah SAW bersabda; “Ya Umar, aku tidak disuruh berdakwah dengan cara yang kasar. Antara aku dan dia memang memerlukan kebijaksanaan daripadamu. Suruhlah dia menagih hutangnya dengan sopan dan ingatkanlah aku supaya aku dapat membayar hutangku dengan baik.”

Mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, orang yahudi itu pun berkata: “Demi yang mengutusmu dengan kebenaran, sebenarnya aku tidak akan datang untuk menagih hutang, tetapi aku datang untuk menguji akhlakmu. Aku mengerti masa untuk melunaskan hutang itu sebelum sampai waktunya. Akan tetapi aku telah membaca sifat-sifatmu dalam kitab Taurat. Semua sifat-sifatmu sungguh terpuji. Namun masih ada satu sifatmu yang belum aku ketahui iaitu tentang kebijaksanaanmu bertindak ketika waktu marah. Ternyata tindakan ceroboh yang dilakukan orang terhadapmu, engkau masih dapat mengawalnya dengan cara bijaksana.”

Ini merupakan satu hakikat yang aku saksikan sendiri, maka terimalah Islamku ya Rasulullah SAW, kemudian orang yahudi itupun mengucap dengan mengakui Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Rasulullah SAW adalah pensuruh ALLAH.

Kemudian ia berkata lagi: “Wahai Rasulullah, adapun hutangmu, aku sedekahkan kepada fakir miskin dan kaum muslimin”

Demikianlah antara sebuah kisah kehebatan akhlak Rasulullah SAW dalam menghadapi marah. Manakala, hari ini dalam menguruskan kemarahan yang terjadi tanpa diminta, adalah menjadi tanggungjawab setiap insan dalam menghadapi situasi yang mudah mengundang marah, memerlukan tindakan pantas kepada memikirkan sabar.

Rasulullah bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).”
(Riwayat al-Tirmizi)

Bangga dengan Marah 

Kedapatan manusia bangga dengan sifat marah yang dimilikinya, katanya ia membuat orang hormat akan dirinya. Maka, katanya mudah untuk mengurus suasana. Ketika masyarakat bertemu dengannya, hormat yang disangka rupanya pura-pura. Kepada ketua, anak buah kelihatan bermuka-muka, didepan ketua puji dan puja, tetapi di belakang mereka mencela.

Persoalan kepada semua, apakah dengan kemarahan menyelesai segala perkara. Mewujudkan ukhuwwah ikhlas sepanjang masa? Melakar baik sangka kenapa sukar dicipta? Tidakkan tuan merasa gembira, melihat semua ikhlas menerima kehadiran tuan disisi semua.

Terimbau kepada satu cerita mengenai kesabaran, suatu hari Imam Ibnu Abbas r.a sedang menunggang kuda. Tiba-tiba datang seorang lelaki menghampirinya dan mengatakan berita dukacita kepadanya. Orang itu berkata:
“Ayahmu telah meninggal dunia ya Ibnu Abbas. Mendengar berita tersebut Ibnu Abbas r.a hanya mengucapkan: “Inna Lillahi wa inna ilahi raji’un. La haula walaa quwata illa billah.” Kemudian Ibnu Abbas r.a turun dari kudanya dan solat akan dia dua rakaat. Setelah selesai mengerjakan solat, orang itu bertanya kepada Ibnu Abbas: “Mengapa kamu sambut dengan solat setelah aku memberi tahumu akan kemangkatan ayahndamu wahai Ibnu Abbas?”

Ibnu Abbas r.a menjawab: “Apakah kamu tidak pernah mendengar firman ALLAH SWT yang memerintahkan:


“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar.”

[al-Baqarah:153]

Justeru, Rasulullah menganjurkan umatnya jangan marah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).

Wallahu A’lam.
Al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy: almukminun
27 Jamadilakhir 1429H / 01-07-2008
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"


http://jomfaham.blogspot.com

Monday, May 28, 2012

Apa Kata Syeikh Abd Kadir Jailani


Sekiranya kamu bertemu seseorang,maka lihatlah kelebihan
yang ada padanya dan katakanlah pada dirimu:

"Mudah-mudahan jadilah dia disisi ALLAH lebih baik daripada aku
dan semoga ALLAH mengangkat darjatnya."

Sekiranya kamu bertemu sesorang yang lebih muda daripada kamu,maka katakanlah kepada dirimu:

"Dia belum lagi menderhakai ALLAH,tetapi aku lebih banyak menderhakai ALLAH.Tidak ragu lagi dia lebih baik daripada aku."

Sekiranya kamu bertemu seseorang yang lebih alim daripada kamu,
maka katakanlah kepada dirimu:

"Dia telah diberi ALLAH apa yang aku tidak dapat,dan dia lebih mengetahui apa yang tidak aku ketahui."

Sekiranya kamu bertemu seseorang yang jahil daripada kamu,maka katakanlah kepada dirimu:

"Dia ini menderhakai ALLAH kerana kejahilannya,sedangkan aku
derhaka kepada ALLAH dalam keadaan aku mengetahui dan aku tidak tahu bagaimana kesudahanku."



Wallahu'alam...

Saturday, May 26, 2012

Cahaya Hati




Allah engkau dekat penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan hamba-Mu menangis
Karna kemurahan-Mu
Karna kasih sayang-Mu


Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa yang rela dia kekasih-Mu
Kau selalu terjaga yang memberi segala



Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi
Allah Rohman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi


Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala



Setiap mahluk bergantung pada-Mu
Dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahaya-Mu



Yaa Allah Ya Rahman
Yaa Allah Yaa Alllah Yaa Allah
Ya Nurul Qolbi
Yaa Allah

Friday, May 25, 2012

Kunci Itu Berada Di Tangan Kita

Dengan nama Allah
Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Mengasihi



Sepertimana yang sudah kita sedia maklum,Perhimpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara di Putrajaya sedang berlangsung.Sudah pasti ramai belia dan remaja dari segenap pelosok Malaysia akan berhimpun di sana untuk menyertai perhimpunan tersebut yang menyajikan pelbagai aktiviti yang terdiri daripada 35 segmen.

Setelah bertukar pendapat dengan seorang sahabat saya mengenai Perhimpunan Jutaan Belia ini,sedikit sebanyak perbincangan itu telah membuka minda saya bahawa betapa pentingnya kita sebagai golongan belia demi masa depan yang gemilang.



Memang saya kurang bersetuju dengan beberapa aktiviti dalam perhimpunan itu yang saya rasakan terlalu mementingkan hiburan.Tidak dinafikan,memang ada program-program yang berbentuk kerohanian,ceramah dan sebagainya namun program-program hiburan dilihat lebih menjadi perhatian.Saya tidak katakan program di perhimpunan ini sahaja,namun keadaan yang sama turut berlaku di majlis-majlis lain.

Hiburan kini dianggap satu elemen penting dalam suatu majlis hingga diberi perhatian yang luar biasa khususnya oleh media.Maka,tidak hairanlah jika kita lihat keadaan belia kita pada hari ini sangatlah menyukai hiburan hingga melupakan perkara-perkara lain.Belia kita pada hari ini seolah-olah sudah kehilangan identiti diri dan kurang mengambil berat tentang perkara yang lebih penting seperti soal agama.

Masalah dan gejala sosial yang berlaku pada hari ini hakikatnya berpunca daripada pendedahan kepada hiburan yang melampaui batas ini.Mana tidaknya,suasana di negara kita ini sendiri yang seolah-olah menggalakkan hiburan-hiburan menjadi sajian utama di rancangan-rancangan televisyen dan di majlis-majlis.

Secara perlahan-lahan,minda dan jiwa remaja kita semakin diracuni.Hari demi hari,belia kita semakin lemah dan tidak bermaya akibat hiburan yang berleluasa ini.Lebih menyedihkan,perkara ini disebabkan oleh orang kita sendiri.Bangsa kita sendiri.

Ramai orang melabelkan belia pada masa kini sebagai 'rosak' namun mereka tidak sedar bahawa mereka sendiri yang merosakkan belia-belia kita ini.Saya sangat bersetuju dengan pandangan abang Hilal Asyraf yang mengatakan bahawa belia pada hari ini sedang melalui proses pembodohan dan bukannya proses mengenal Allah SWT serta agama Islam.Anda boleh membaca tulisan Abang Hilal Asyraf ini yang nyata jauh lebih berilmu dari saya,mengenai peri pentingnya belia untuk masa depan.

Apa yang saya cuba hendak tekankan di sini ialah,bahawa betapa pentingnya kita sebagai belia untuk masa depan negara ini.Kita sudah selalu dengar kata-kata Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi,katanya "apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan,lihatlah generasi mudanya pada hari ini.Jika golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi,tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman dan makmur 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur' tapi jika keadaan adalah sebaliknya,maka bersedialah untuk menghadapi kemungkinan buruk yang akan berlaku."Tetapi,pernahkah kita berfikit mengenainya?

Saya juga pernah bertanya kepada diri saya,pernahkah aku berfikir tentang masa depan negara ini,dan yang paling penting tentang Islam itu sendiri.Bukankah kita yang sepatutnya menjadi tulang belakang negara kita,menjadi tunjang untuk kebangkitan Islam kembali.Itu yang sepatutnya kita lakukan!

Bukannya asyik berfikir mengenai perlawanan bola sepak EPL,La Liga,pasukan mana yang menang minggu ini.Bukannya asyik berfikir pemain mana yang mahu dimasukkan dalam pasukan Fantasy Premier League.Bukannya asyik mahu bermain futsal tiap-tiap hari.Bukannya asyik 'online' Facebook 24 jam,Twitter dan sebagainya.Bukannya asyik bermain permainan komputer FIFA Online,DOTA,Call Of Duty dan banyak lagi.Bukannya asyik menonton tv dan mendengar lagu-lagu.Bukan semua itu.

Betul,tidak salah untuk kita lakukan semua itu namun yang saya ingin tekankan ialah perlu ada batasannya.Jika keadaan itu berterusan,lama kelamaan kita akan menjauhi Allah SWT dan itulah perkara yang paling buruk untuk berlaku.Kemudian,peraturan-peraturan agama akan ditinggalkan dan diabaikan.

Kerana itulah ramai dalam kalangan kita remaja sekarang ini tidak tahu dan tidak faham akan agama kita sendiri.Kita menjadi buta dek diracuni dengan budaya Hedonisme yang semakin mejadi-jadi.

Lihatlah di masjid-masjid,surau-surau kita,golongan mana yang lebih ramai memenuhkan surau dan masjid?Golongan muda atau tua?Saya rasa kita tahu jawapan itu.

Tidak hanya itu,belia kita pada hari ini juga masih ramai yang kurang mengambil berat tentang hal politik dan sebagainya sedangkan perkara ini penting kerana kita belia inilah yang bakal meminpin negara suatu hari nanti.Ramai yang memberi alasan bahawa kita masih belum cukup umur untuk mengetahui hal-hal politik.Itu sebenarnya menandakan bahawa pemikiran kita masih beum matang.



Tetapi,pada saya,semua itu sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri juga.Pilihan di tangan kita sebenarnya.Sama ada kita mahu memilih perkara baik ataupun perkara buruk untuk diri kita.Benar,perkara baik itu pada zahirnya dilihat sebagai sesuatu menyusahkan dan perkara yang buruk itu dilihat sebagai sesuatu yang mengasyikkan dan menyeronokkan.Tapi,pernahkan kita terfikir mengenai hasil dan ganjaran daripada perkara baik dan keburukan akibat perkara buruk?Jarang.Kita hanya berfikir untuk jangka masa pendek sahaja.

Tidak saya nafikan terdapat ramai pemuda-pemudi di luar sana yang hebat-hebat belaka.Saya juga mempunyai sahabat-sahabat yang saya rasakan mampu untuk memimpin ummah ini pada masa akan datang.Namun,kita tidak patut hanya mengharapkan orang lain,tetapi kita sendiri haruslah berusaha untuk menjadi yang terbaik supaya generasi pemimpin Islam yang gemilang pada masa akan datang tidak lenyap.

Saya sedar suara saya kini amatlah lemah jika hendak dibandingkan dengan orang lain,namun setidak-tidaknya kita mestilah berusaha walau sekecil mana pun usaha kita itu kerana di akhirat kelak,Allah SWT tidak akan bertanya adakah kita berjaya,tetapi adakah kita berusaha untuk membantu agama Allah SWT. 

Marilah,wahai sahabat-sahabat belia yang saya hormati,marilah kita lakukan perubahan untuk megubah masa depan negara kita supaya lebih cerah.Yang lebih penting,Islam itu mesti ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun.Marilah kita mantapkan akidah kita kerana itulah perkara pertama Rasulullah SAW lakukan ketika mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyebarkan Islam.

Sebab itulah saya katakan,KUNCI PERUBAHAN ITU BERADA DALAM TANGAN KITA!

Wallahu'alam...

Tuesday, May 22, 2012

Bertudung:Fesyen Lawan Syariat Bab Akhir



Bertudung: Fesyen lawan Syari‘at

(Bahagian Akhir)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

iii.Tidak memakai cemara atau sanggul yang tinggi

Terdapat segelintir wanita yang bertudung dengan memakai sanggul palsu. Tujuannya agar kelihatan lebih cantik berbanding tidak memakainya.

Perlu diketahui bahawa memakai sanggul yang terlalu menonjol merupakan antara perkara  yang dilarang melakukannya. Larangan tersebut sangat keras sehingga dinyatkan bahawa seorang wanita yang melakukannnya tidak akan masuk syurga hatta menghidu bau syurga. Padahal bau syurga itu boleh dihidu dari jarak yang sangat jauh. Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan perkara tersebut dalam sabda Baginda:

Maksudnya:  “Ada dua golongan ahli  neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian  tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian  tiada menutup aurat  kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)

Memakai cemara itu termasuk  memakai rambut tambahan, samada daripada rambut lain atau bukan daripada rambut seperti nilon atau lain-lain yang  digunakan untuk membesarkan sanggul.

Selain larangan memakai cemara, menyambung rambut juga termasuk perkara yang dilarang meskipun lengkap memakai tudung. Memakai rambut tambahan atau menyambung rambut dihukumkan haram bagi perempuan dan juga lelaki. 

Allah  Subhanahu wa Ta‘ala melaknat orang yang memakai rambut tambahan sekalipun orang itu adalah perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit atau perempuan yang hendak menjadi pengantin. Hukum tersebut adalah berdasarkan kepada hadits  shahih, antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anha, beliau berkata :

Maksudnya:  “Seorang perempuan telah datang (bertanya) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya anak  saya yang akan melangsungkan perkahwinan telah terkena suatu penyakit sehingga rambutnya gugur, apakah boleh saya menyambung rambutnya?” Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para  ashab  (‘ulama-‘ulama asy-Syafi‘i) dalam menghuraikan hadits di atas mengatakan bahawa tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan haram juga disambung dengannya.

 iv.Tudung tidak mengandungi gambar atau lukisan objek yang bernyawa atau lambang yang diharamkan Islam melarang menggunakan kain, selimut, langsir yang terdapat padanya lukisan atau  gambar sesuatu yang bernyawa seperti gambar atau lukisan manusia atau haiwan.

Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata: 

Maksudnya: “Sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam  (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku, tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu).” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, menggunakan tudung yang terdapat padanya gambar manusia atau binatang juga adalah dilarang. Orang Islam juga dilarang memakai tudung yang memaparkan gambar-gambar seperti imej atau tulisan jenama tertentu seperti jenama minuman keras atau  memaparkan lambang-lambang agama lain. Sebagai contoh,  haram memakai tudung yang memaparkan lambang salib. Salib termasuk symbol atau lambang yang dipakai khas bagi orang Nashrani.  Larangan tersebut adalah mengelakkan diri kita dari terlibat dalam mempromosi imej dan  jenama-jenama berkenaan dan menghindari diri kita dari menyerupai orang-orang bukan Islam kerana memakai lambang-lambang  tersebut. Larangan ini disebut dengan jelas oleh Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:


Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai/meniru sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka” (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Munawi dan al-‘Alqami  Rahimahullahu Ta‘ala sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab ‘Aun al Ma‘bud Syarh Sunan  Abu Daud, maksud tasyabbuh (penyerupaan) dengan sesuatu  kaum itu ialah berkelakuan dengan tingkah laku mereka, termasuk pakaian dan sebahagian perbuatan mereka.
Berdasarkan keterangan di  atas, dapat difahami bahawa larangan tasyabbuh (penyerupaan) terhadap sesuatu kaum itu juga dalam berpakaian. Ini bermakna,  tasyabbuh dalam pemakaian tudung juga merupakan larangan. 
  
Sementara memakai tudung yang terdapat padanya lukisan atau gambar sesuatu yang tidak bernyawa seperti gambar atau lukisan pokok, sungai, gunung-ganang dan seumpamanya adalah tidak mengapa dan harus.

v.Tidak melampau atau berlebih-lebihan

Perbuatan berlebih-lebihan boleh sahaja mengubah fungsi  tudung yang pada asalnya digunakan untuk menutup aurat  kepada perhiasan untuk mencantikkan diri dan menjadi tarikan kepada orang yang melihatnya.  Selain itu, berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara termasuk bertudung kadang-kadang akan menimbulkan perkara-perkara negatif yang dilarang orang Islam melakukannya antaranya membazir.

Pembaziran boleh berlaku jika seseorang itu berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung. Sikap  berlebih-lebihan ini didorong oleh nafsu keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik atau keinginan untuk bermegah dan  menunjuk-nunjuk. Seseorang sanggup membeli tudung dan aksesori tudung yang terlalu mahal dan terlalu banyak sehingga melebihi had yang sepatutnya demi memastikan penampilannya kelihatan menarik dan sentiasa mengikut tren terkini.  Umat Islam sangat dilarang dari melakukan perbuatan membazir dan berlebih-lebihan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”  (Surah  al-Israa’: 26)

Dari penjelasan ini, sayugia disarankan kepada setiap wanita Islam khususnya untuk mengetahui, memahami dan seterusnya mengikuti konsep bertudung yang dikehendaki oleh syara‘.

Wanita Islam perlu berhati-hati dalam memilih pakaian dan tudung memandangkan terdapat juga fesyen yang pada zahirnya nampak Islamik tetapi sebenarnya tidak menepati kehendak syara‘ dan maksud menutup aurat. Begitu juga jangan memakai tudung tetapi dalam masa yang sama mengenakan pakaian sendat, baju lengan pendek, kain berbelah, seluar yang masih juga menampakkan bahagian aurat atau yang seumpamanya. Cara sedemikian ini masih sahaja tidak menepati hukum menutup aurat.



Sumber: jomfaham.blogspot.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...