Yang Setia

Sekadar Penghibur Hati

Sunday, January 16, 2011

MENGENAL PELURU-PELURU SYAITAN




Bagi mencapai kecemerlangan,tipu daya syaitan perlu dikenali dan diawasi kerana syaitan sentiasa mencari kesempatan menyerang dan merosakkan hati-hati manusia.Menurut Imam Ghazali,antara pintu yang sering digunakan syaitan adalah :

  1. Perasaan marah
  2. Nafsu syahwat
  3. Perasaan tamak dan dengki
  4. Kenyang
  5. Cinta kepada perhiasan dan harta benda
  6. Bergantung kepada manusia
  7. Gopoh gapah dan terburu nafsu
  8. Cinta kepada dinar,dirham dan emas(wang ringgit)
  9. Sikap kedekut dan bakhil
  10. Fanatik mazhab dan kelompok
  11. Berfikir berkenaan zat,sifat dan af'al atau perbuatan Allah SWT tanpa ilmu
  12. Sikap mudah buruk sangka terhadap orang-orang Islam
Hati yang cemerlang ialah hati yang suci bersih yang mampu melihat alam ghaib sehingga ia mengenali Allah SWT tanpa sebarang keraguan.Pada zaman nabi,seorang lelaki bertanya kepada nabi,
"Ya Rasulullah,siapakah manusia terbaik?"
Nabi menjawab,"Mereka ialah orang mukmin yang berhati makhmun."
Orang itu bertanya lagi,"Apakah hati makhmun itu?"
Nabi bersabda,"Ia ialah hati yang bertakwa lagi bersih yang tidak ada dalamnya penipuan,sikap melampaui batas,tipu daya,khianat dan hasad."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan bertaraf sahih.Hati yang bersih ditakuti syaitan.Nabi pernah bersabda,
"Tidak berjalan Umar di suatu lorong melainkan syaitan memilih jalan yang lain supaya tidak bertembung dengan Umar."
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.Perasaan gerun yang ditunjukkan syaitan adalah disebabkan oleh kecemerlangan takwa yang wujud di hati Umar.

Apabila hati bersinar dengan gemilang,Allah mengilhamkan kepada hati itu pelbagai ilmu dan petunjuk.Antara ilham yang mungkin terhasil ialah firasat mukmin.Berhubung dengan ini,menurut Imam Tirmizi,nabi berkata,
"Takutlah kamu dengan firasat mukmin kerana sesungguhnya dia melihat dengan nur Allah SWT."
Contohnya,menurut Anas bin Malik,pada suatu hari beliau terpandang seorang wanita dan terpegun dengan kecantikannya.Kemudian selepas itu beliau bertemu dengan Uthman Bin Affan dan Uthman berkata,
"Telah masuk masuk ke majlisku seorang lelaki yang terdapat di matanya tanda-tanda zina."
Anas terkejut dengan perkataan Uthman dan terus bertanya,
"Adakah masih ada wahyu selepas nabi?"
Jawab Uthman,"Tidak,tetapi yang ada ialah mata hati dan firasat yang benar."

Begitu juga dengan peristiwa yang berlaku ke atas khalifah Umar al-Khattab.Semasa beliau sedang menyampaikan ucapan di Madinah,tiba-tiba beliau berkata,
"Wahai Sariah,pergilah ke bukit,ke bukit."
Rupa-rupanya pada masa itu beliau dapat melihat tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh panglima Sariah sedang mengalami kekalahan sedangkan pada masa itu beliau berada jauh di Madinah.Beliau terus mengarahkan Sariah supaya membawa tentera-tentera Islam ke bukit.Menurut Sariah,beliau dapat mendengar suara Umar dengan jelas dan terus mematuhi arahannya sehingga mereka beroleh kemenangan .Perkara ini ialah bentuk-bentuk ilham yang dianugerahkan Allah kepada mereka yang mempunyai hati yang bersih.

Hati perlu digilap selalu supaya terus bersinar.Andai kata tugas ini diabaikan,hati akan mati.Mengikut Ibrahim bin Adham,lapan perkara mematikan hati adalah:

  1. Mengetahui hak Allah SWT tetapi tidak menegakkan hak itu.
  2. Membaca Al-Quran tetapi tidak melaksanakan suruhan-suruhan yang terdapat dalam Al-Quran.
  3. Mencintai nabi tetapi mengabaikan sunnahnya.
  4. Takutkan mati tetapi tidak mempersiapkan diri.
  5. Mengetahui syaitan ialah musuh tetapi ghairah mengikut kehendak syaitan.
  6. Takutkan neraka tetapi melakukan maksiat.
  7. Mahukan syurga tetapi tidak beramal soleh.
  8. Kekurangan diri sendiri dilupakan tetapi kekurangan orang lain diketengahkan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...