Yang Setia

Sekadar Penghibur Hati

Saturday, January 8, 2011

BERLIAN DEPAN MATA TIDAK NAMPAK



Tidak berapa jauh dari Sungai Indus,suatu masa dahulu,hidup seorang lelaki yang bernama Ali Hafiz bersama keluarganya.Beliau memiliki ladang dan dusun yang luas dan beliau boleh dianggap sebagai orang yang kaya raya.Setiap malam beliau bersyukur kepada Allah SWT dengan nikmat yang dikurniakan dan setiap malam beliau dapat tidur dengan nyenyak.Pada suatu hari,seorang lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam datang menziarahi Ali Hafiz.beliau menceritakan bagaimana berlian terjadi dan berkata,"Apabila kamu berjaya memiliki berlian walaupun sebesar jari,kamu mampu membeli sebuah negara dan apabila kamu dapat memiliki sebuah lombong berlian kamu mampu menguasai dunia."

Sejak hari itu,Ali Hafiz tidak dapat tidur dengan nyenyak lagi dan sejak hari itu beliau lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT.Siang dan malam beliau termenung memikirkan bagaimana mahu memiliki berlian.Akhirnya beliau memutuskan untuk menjual kesemua harta yang dimilikinya untuk merantau mencari lombong berlian.Maka,Ali Hafiz pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan terus memulakan perjalanan.Beliau merantau ke bumi Palestin,menjelajahi Eropah dan akhirnya tiba di Teluk Barcelona dalam keadaan yang miskin.Beliau berasa amat kecewa dan putus asa dan akhirnya mencampakkan dirinya ke dalam laut.Dengan itu tamatlah riwayat hidupnya.

Berbalik kepada ladang dan dusun yang sudah dijual,pada suatu hari pemilik yang baru bersiar-siar di dusunnya dan kemudian berhenti berehat di tepi sebatang sungai.Beliau berasa pelik kerana pasir di sungai itu kelihatan bersinar-sinar dan bergemerlapan.Beliau pun mencedok pasir sungai dan kemudian menunjukkan kepada lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam.Lelaki itu terkejut besar kerana pasir itu mengandungi berlian bernilai tinggi dan berlian itu yang dicari-cari selama ini oleh Ali Hafiz.Ali Hafiz membuangkan wang,masa dan tenaga untuk mencari berlian sedangkan berlian yang berharga berada di ladangnya bahkan di depan matanya.Hasil daripada penemuan itu,dusun yang pada asalnya dimiliki oleh Ali Hafiz,bertukar menjadi sebuah lombong berlian yang besar yang dikenali pada hari ini sebagai lombong Golcanda.

Umat Islam pada hari ini boleh diibaratkan seperti Ali Hafiz.Mereka tidak menyedari bahawa agama Islam merupakan lombong berlian yang tidak ada tolok bandingannya jika dibandingkan dengan ajaran serta agama lain.Mereka keluar mencari kemuliaan dengan mengikuti budaya asing.Mereka mengagumi isme-isme sesat yang bercanggah dengan Islam dan berbangga apabila dapat mengikut cara hidup golongan bukan Islam.Akhirnya,mereka lemas dan hancur.Apabila keadaan sudah terlambat,baru mereka sedar bahawa kemuliaan,kebanggaan,keunggulan dan kebahagiaan yang dicari selama ini berda di hadapan mata mereka iaitu ISLAM!!



Dipetik Daripada 7 FORMULA INDIVIDU CEMERLANG(Dr Danial Zainal Abidin)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...