Yang Setia

Sekadar Penghibur Hati

Saturday, January 22, 2011

SAMPAH SARAP MENGHASILKAN SAMPAH SARAP


Selalu kedengaran di corong-corong radio atau pun televisyen,DJ ataupun pengacaranya akan menceritakan gosip yang melibatkan para artis kita di Malaysia.Maka,dikisahkan berkenaan dengan artis A sedang bercinta dengan artis B,artis C bercerai dengan artis D dan begitulah seterusnya.Jika difikirkan,apabila informasi seperti ini yang disogokkan ke minda rakyat kita khususnya remaja,sudah pasti hasilnya ialah sampah sarap.

Malangnya,memang telah wujud remaja-remaja yang mempunyai minda sampah sarap di Malaysia.Seperti yang kita sedia maklum,terdapat segelintir remaja kita sudah terpengaruh dengan budaya Barat seperti punk dan skinhead.Mereka berpakaian selekeh dan antisosial.Mereka lakukan semua ini bukan kerana apa,tetapi hanya kerana trend.Trend ini lahir kerana minda memandang baik budaya sampah sarap yang diimport dari Barat.Apa yang dipandang baik oleh minda menjadi kenyataan dalam hidup.Sampah sarap dalam minda melahirkan sampah sarap dalam kehidupan.

Kita manusia sebenarnya berpotensi.Apabila potensi ini tidak digilap,maka potensi itu akan diselimuti debu dan akhirnya menjadi malap.Benar sabda nabi yang bermaksud,

"Manusia (berpotensi) seperti lombong-lombong emas dan perak.Individu yang baik pada zaman jahiliahnya akan menjadi baik pada zaman Islamnya jika dia faham kebenaran."

Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim ini menunjukkan minda penting bagi mencapai kejayaan.Apabila minda kita faham,seluruh jasad turut faham.Justeru,untuk berjaya kita haruskan masukkan ke dalam minda informasi yang suci lagi murni.Sama-samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran.

Wednesday, January 19, 2011

UMAR AL-KHATTAB


Nama Sebenar:Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza
Kelahiran:584 M(13 selepas kelahiran nabi Muhammad)
Keturunan:Bani Adi

Usia ketika memeluk Islam:33 Tahun

Tarikh menjadi khalifah:23 Ogos 634 M bersamaan 13 Hijrah
Tempoh memerintah:10 tahun 6 bulan
Tarikh meninggal dunia:23 Hijrah,dibunuh oleh Abu Lukluk(hamba berbangsa Parsi)
Usia:63 tahun

Gelaran:Al-Faruq(pemisah antara hak dan batil)

Sifat peribadi:-Mempunyai sifat keberanian yang tinggi
-Bersikap tegas
-Seorang yang berpandangan jauh dan berfikiran terbuka
-Bersedia ditegur oleh sesiapa pun
-Pemerintah yang bertnaggungjawab terhadap kebajikan rakyat

-Sangat mengambil berat akan keselamatan negara -Seorang yang adil

Sumbangan:-Menyusun majlis Syura
-Menyusun semula kanun tanah negara

-Memperkenalkan kalendar tahun Hijrah
-Menubuhkan polis dan tentera laut
-Menubuhkan Dewan Al-Jundi dan Al-Kharaj
-Menyebarkan dakwah secara meluas

ABU BAKAR AS-SIDDIQ


Nama sebenar:Abdullah bin Abi Quhafah
Keturunan:Bani Tamim

Kelahiran:572 M(2 tahun selepas kelahiran nabi Muhammad)

Gelaran:As-Siddiq(Membenarkan segala percakapan dan perbuatan nabi)

Kewafatan:13 Hijrah(63 tahun)

Sifat peribadi:-Bersifat lemah lembut,bersopan santun dan jujur -Pengasih dan penyayang terhadap semua orang -Sentiasa bercakap benar -Ikhlas dalam perjuangan -Tabah menghadapi dugaan -Seorang yang setiakawan -Benci kepada kejahatan

Sumbangan:-Memerangi golongan murtad -Menghapuskan nabi palsu -Memerangi golongan yang enggan membayar zakat -Menggerakkan semula tentera Usamah bin Zaid -Membebaskan negeri-negeri di bawah cengkaman Parsi dan Rom -Mengumpulkan tulisan-tulisan Al-Quran

Monday, January 17, 2011

BERILMU




SETIAP ORANG YANG BERAMAL TANPA ILMU
MAKA AMALANNYA DITOLAK DAN TIDAK DITERIMA

Ilmu pengetahuan ialah kawan setia ketika sepi,pembimbing ke jalan petunjuk agama dan modal dalam perjuangan untuk mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.Orang yang malas mencari dan menambah ilmu pengetahuan bagaikan lampu kehabisan minyak dan dia akan hidup dalam kegelapan. Hidup akan cemerlang jika dibekali dengan ilmu pengetahuan.


Kelebihan Ilmu Pengetahuan
  • Ilmu ialah warisan para nabi a.s sedangkan harta ialah warisan Firaun dan Qarun.
  • Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu menjaga manusia sedangkan harta dijaga manusia.
  • Orang yang berilmu mempunyai ramai kawan sedangkan orang yang berharta mempunyai ramai musuh.
  • Ilmu jika diberikan akan bertambah,namun harta jika diberi,akan berkurang.
  • Ilmu tidak boleh dicuri sedangkan harta boleh hilang dan lenyap.
  • Harta boleh habis sebelum pemiliknya mati namun ilmu habis dengan kematian pemiliknya.
  • Ilmu tidak dapat dihitung sedangkan harta dapat diketahui jumlahnya.
Allah SWT akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu dengan firman-Nya dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Wahai orang-orang yang beriman!Apabila diminta kepada kamu memberi lapang tempat duduk kamu untuk orang lain maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan segala halnya untuk kamu.Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama di kalangan kamu beberapa darjat.Dan ingatlah,Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa kamu lakukan.

Al-Jahiz pernah berpesan supaya banyak membaca dan mentelaah buku yang ada agar dapat mengusir kesedihan yang kamu rasakan.Dia pernah berkata,

"Buku ialah teman duduk yang tidak akan mengusirmu,sahabat yang tidak akan menyesatkanmu dan sahabat yang tidak memberatkanmu.Buku adalah seperti orang yang tidak dapat meletihkanmu,tetangga yang tidak membuatmu kesal,sahabat yang tidak ingin mengeluarkan apa yang kamu miliki dengan rayuan,tidak memperlakukanmu dengan tipu daya,tidak menipu kamu dengan kemunafikan dan tidak memperdaya kamu dengan pembohongan."

Buku merupakan barang yang jika kita melihatnya,maka akan semakin menambahkan kesenangan,buku dapat mengasah otak,menyederhanakan percakapan ketika berbicara sehingga mudah difahami,dapat memperbaiki tugas-tugas,mengagungkan ucapan,menjadikan diri nyaman,memanjangkan umur,menghadiahkan penghargaan besar daripada orang awam dan menjadikan kita sebagai kepercayaan penguasa.

Dengan buku,dalam jangka waktu sebulan kita dapat mengetahui sesuatu hal yang tidak dapat kita ketahui daripada orang lain selama hidup kita.Dengan buku kita akan selamat daripada kerugian,kerja keras dan berlama-lama menunggu pelajaran yang sebenarnya dapat kita pelajari sendiri.Dengan buku kita akan menjadi orang yang paling mulia akhlaknya dan paling mulia keturunannya antara orang-orang yang ada di sekitar kita.Kita juga akan selamat daripada orang-orang yang membenci kita ketika duduk bersama mereka.

Sunday, January 16, 2011

MENGENAL PELURU-PELURU SYAITAN




Bagi mencapai kecemerlangan,tipu daya syaitan perlu dikenali dan diawasi kerana syaitan sentiasa mencari kesempatan menyerang dan merosakkan hati-hati manusia.Menurut Imam Ghazali,antara pintu yang sering digunakan syaitan adalah :

  1. Perasaan marah
  2. Nafsu syahwat
  3. Perasaan tamak dan dengki
  4. Kenyang
  5. Cinta kepada perhiasan dan harta benda
  6. Bergantung kepada manusia
  7. Gopoh gapah dan terburu nafsu
  8. Cinta kepada dinar,dirham dan emas(wang ringgit)
  9. Sikap kedekut dan bakhil
  10. Fanatik mazhab dan kelompok
  11. Berfikir berkenaan zat,sifat dan af'al atau perbuatan Allah SWT tanpa ilmu
  12. Sikap mudah buruk sangka terhadap orang-orang Islam
Hati yang cemerlang ialah hati yang suci bersih yang mampu melihat alam ghaib sehingga ia mengenali Allah SWT tanpa sebarang keraguan.Pada zaman nabi,seorang lelaki bertanya kepada nabi,
"Ya Rasulullah,siapakah manusia terbaik?"
Nabi menjawab,"Mereka ialah orang mukmin yang berhati makhmun."
Orang itu bertanya lagi,"Apakah hati makhmun itu?"
Nabi bersabda,"Ia ialah hati yang bertakwa lagi bersih yang tidak ada dalamnya penipuan,sikap melampaui batas,tipu daya,khianat dan hasad."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan bertaraf sahih.Hati yang bersih ditakuti syaitan.Nabi pernah bersabda,
"Tidak berjalan Umar di suatu lorong melainkan syaitan memilih jalan yang lain supaya tidak bertembung dengan Umar."
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.Perasaan gerun yang ditunjukkan syaitan adalah disebabkan oleh kecemerlangan takwa yang wujud di hati Umar.

Apabila hati bersinar dengan gemilang,Allah mengilhamkan kepada hati itu pelbagai ilmu dan petunjuk.Antara ilham yang mungkin terhasil ialah firasat mukmin.Berhubung dengan ini,menurut Imam Tirmizi,nabi berkata,
"Takutlah kamu dengan firasat mukmin kerana sesungguhnya dia melihat dengan nur Allah SWT."
Contohnya,menurut Anas bin Malik,pada suatu hari beliau terpandang seorang wanita dan terpegun dengan kecantikannya.Kemudian selepas itu beliau bertemu dengan Uthman Bin Affan dan Uthman berkata,
"Telah masuk masuk ke majlisku seorang lelaki yang terdapat di matanya tanda-tanda zina."
Anas terkejut dengan perkataan Uthman dan terus bertanya,
"Adakah masih ada wahyu selepas nabi?"
Jawab Uthman,"Tidak,tetapi yang ada ialah mata hati dan firasat yang benar."

Begitu juga dengan peristiwa yang berlaku ke atas khalifah Umar al-Khattab.Semasa beliau sedang menyampaikan ucapan di Madinah,tiba-tiba beliau berkata,
"Wahai Sariah,pergilah ke bukit,ke bukit."
Rupa-rupanya pada masa itu beliau dapat melihat tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh panglima Sariah sedang mengalami kekalahan sedangkan pada masa itu beliau berada jauh di Madinah.Beliau terus mengarahkan Sariah supaya membawa tentera-tentera Islam ke bukit.Menurut Sariah,beliau dapat mendengar suara Umar dengan jelas dan terus mematuhi arahannya sehingga mereka beroleh kemenangan .Perkara ini ialah bentuk-bentuk ilham yang dianugerahkan Allah kepada mereka yang mempunyai hati yang bersih.

Hati perlu digilap selalu supaya terus bersinar.Andai kata tugas ini diabaikan,hati akan mati.Mengikut Ibrahim bin Adham,lapan perkara mematikan hati adalah:

  1. Mengetahui hak Allah SWT tetapi tidak menegakkan hak itu.
  2. Membaca Al-Quran tetapi tidak melaksanakan suruhan-suruhan yang terdapat dalam Al-Quran.
  3. Mencintai nabi tetapi mengabaikan sunnahnya.
  4. Takutkan mati tetapi tidak mempersiapkan diri.
  5. Mengetahui syaitan ialah musuh tetapi ghairah mengikut kehendak syaitan.
  6. Takutkan neraka tetapi melakukan maksiat.
  7. Mahukan syurga tetapi tidak beramal soleh.
  8. Kekurangan diri sendiri dilupakan tetapi kekurangan orang lain diketengahkan.

Thursday, January 13, 2011

HATI TAPAK SEMAIAN ASAS

Umat Islam berjaya membina kegemilangan kerana mereka memulakan langkah dari dalam iaitu daripada hati.Perubahan yang yang bermula daripada hati kekal lama.Justeru,umat Islam dituntut menghias hati mereka dengan bertakwa kepada Allah SWT.Dengan kekuatan takwa,mereka dapat mengubah segala-galanya.Menurut Imam Muslim,nabi bersabda,"Takwa itu di sini(dan baginda terus menunjukkan kepada dada baginda)."

Sebelum berbicara dengan lebih mendalam berkenaan takwa,terlebih dahulu kita berbicara berkenaan hati.Secara dasarnya, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin pada bab Huraian Keajaiban Hati berkata,"Hati ialah raja bagi manusia.Sebagai raja,hati mempunyai tentera-tentera yang mampu melaksanakan kehendak-kehendaknya.Tentera-tentera ini dikenali sebagai tentera-tentera zahir dan batin.Tentera zahir adalah segala anggota badan yang dikurniakan kepada manusia.Tentera batin pula adalah nafsu syahwat dan marah di samping ilmu,hikmat dan kebijaksanaan.Nafsu syahwat dan marah mampu memainkan dua peranan yang berbeza iaitu membantu hati dan menghancurkannya.Justeru,hati memerlukan ilmu dan hikmat supaya dengannya nafsu syahwat dan marah dapat dikekang bagi melaksanakan perkara-perkara yang bermanfaat sahaja.Ilmu yang paling mulia ialah ilmu tentang Allah SWT serta keagungannya.Penguasaan ilmu ini dan keyakinan yang lahir daripadanya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.Pada peringkat awal,ilmu ini diperoleh berdasarkan usaha dan kesungguhan sehingga seseorang mengenali sifat-sifat yang yang wajib,mustahil serta harus bagi Allah SWT.Pada tahap yang paling tinggi,ilmu dan keyakinan terhadap Allah SWT terhasil berdasarkan penglihatan mata hati yang dikurniakan Allah SWT." Ilmu yang terhasil daripada penglihatan mata hati dekenali sebagai ilmu mukasyafah.Seseorang yang dikurniakan ilmu ini akan mengenali rahsia-rahsia Allah SWT secara langsung daripada Allah SWT.

Imam Al-Ghazali seterusnya berkata,"Berbekalkan ilmu dan keyakinan ini hati manusia akan menjadi bersih dan hasilnya ialah kebahagiaan bagi manusia di dunia dan akhirat.Sahabat Ali bin Abi Talib pernah berkata,"Sesungguhnya Allah SWT mempunyai bejana di muka bumi ini dan bejana itu adalah dalam bentuk hati-hati manusia.Hati yang paling dikasihi Allah SWT ialah hati yang paling lembut,yang paling suci dan paling keras.Maksud paling keras ialah yang paling keras berpegang pada agama Allah.Maksud yang paling suci ialah yang paling suci daripada sudut keyakinan dan maksud yang paling lembut ialah yang paling berlemah lembut kepada sahabat dan taulan."

Tuesday, January 11, 2011

KEPENTINGAN HUBUNGAN SILATURRAHMI

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki yang telah menuju ke Baitullah Al-Haram(Kaabah)untuk menunaikan haji.Setelah tiba di Kota Makkah,dia lalu menyimpan wang sebanyak 1000 dinar pada seorang yang jujur dan berakhlak baik.Kemudian orang kaya itu menuju ke Arafah untuk berwuquf di sana.Setelah selesai wuquf dan amalan hajinya yang lain,dia kembali ke Makkah dan mendatangi rumah orang yang dititipkan wangnya dahulu itu,namun dia mendapati orang itu sudah meninggal dunia.

Orang kaya tersebut lalu bertanya hal itu kepada keluarganya tentang wang yang disimpan pada orang itu dan keluarganya menjawab,"Kami tidak tahu apa pun tentang wang simpanan itu."Akhirnya orang kaya itu bertanya kepada seorang ulama di Makkah dengan memberitahunya tentang keadaannya dan wangnya yang disimpan kepada orang yang jujur itu.Ulama itu menjawab,"Nanti pada tengah malam,pergilah engkau ke perigi zamzam dan lihatlah ke dalamnya.Kemudian panggillah nama di fulan itu.jika dia termasuk dalam penghuni syurga maka dia akan menjawab panggilamu."

Maka orang kaya itu pergilah menuju ke perigi Zamzam pada waktu malam,lalu memanggil nama orang itu,sekali dan dua kali dan seterusnya namun tidak ada yang menjawab panggilan itu.Pada keesokan harinya orang kaya itu menemui sekali lagi ulama Makkah itu serta menceritakan apa yang berlaku pada malam itu.Mendengar khabar itu,ulama itu terus mengucapkan kalimah istirja' "Aku khuatir bahawa temanmu itu jangan-jangan dia tidak termasuk dalam penghuni syurga.Sekarang cuba kamu pergi ke Yaman,di sana ada satu perigi barhut namanya,yang pernah dikatakan orang sebagai mulut neraka Jahannam.Lalu datanglah kamu pada malam hari,serta panggillah nama si fulan itu.Jika dia termasuk dalam penghuni neraka,maka dia akan menjawab panggilanmu itu dan tanyakanlah dia berkenaan wangmu itu."

Maka pergilah orang kaya itu menuju ke Yaman,lalu bertanya kepada orang tentang tempat beradanya perigi Barhut itu.Akhirnya,dia ditunjukkan orang tempatnya.Pada malamnya,dia datang ke perigi Barhut itu,lalu memanggil nama orang yang pernah menerima barang simpanannya itu.Maka serta-merta orang itu menjawab.Orang kaya itu bertanya,"Di manakah engkau simpan wang emas aku itu?"Orang itu menjawab,"Aku telah menyimpannya di suatu tempat di rumahku.Dan aku tidak percaya kepada sesiapa pun,sekalipun anakku sendiri.Sekarang pergilah engkau ke tempat ini dan itu dan galilah di situ,nescaya engkau akan menemui wang dinarmu itu."Kemudian orang kaya itu bertanya,"Apakah yang menyebabkan engkau berada di sini sedangkan engkau baik dan kami semua bersangka baik terhadapmu."Lalu lelaki itu menjawab,"Aku mempunyai seorang saudara perempuan yang miskin tetapi aku tidak mempedulikannya dan bertanyakan hal keadaannya serta tidak berasa kasihan kepadanya maka kerana itulah Allah SWT telah menyeksaku di sini dan menempatkanku di neraka Jahannam."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...