Yang Setia

Sekadar Penghibur Hati

Friday, May 25, 2012

Kunci Itu Berada Di Tangan Kita

Dengan nama Allah
Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Mengasihi



Sepertimana yang sudah kita sedia maklum,Perhimpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara di Putrajaya sedang berlangsung.Sudah pasti ramai belia dan remaja dari segenap pelosok Malaysia akan berhimpun di sana untuk menyertai perhimpunan tersebut yang menyajikan pelbagai aktiviti yang terdiri daripada 35 segmen.

Setelah bertukar pendapat dengan seorang sahabat saya mengenai Perhimpunan Jutaan Belia ini,sedikit sebanyak perbincangan itu telah membuka minda saya bahawa betapa pentingnya kita sebagai golongan belia demi masa depan yang gemilang.



Memang saya kurang bersetuju dengan beberapa aktiviti dalam perhimpunan itu yang saya rasakan terlalu mementingkan hiburan.Tidak dinafikan,memang ada program-program yang berbentuk kerohanian,ceramah dan sebagainya namun program-program hiburan dilihat lebih menjadi perhatian.Saya tidak katakan program di perhimpunan ini sahaja,namun keadaan yang sama turut berlaku di majlis-majlis lain.

Hiburan kini dianggap satu elemen penting dalam suatu majlis hingga diberi perhatian yang luar biasa khususnya oleh media.Maka,tidak hairanlah jika kita lihat keadaan belia kita pada hari ini sangatlah menyukai hiburan hingga melupakan perkara-perkara lain.Belia kita pada hari ini seolah-olah sudah kehilangan identiti diri dan kurang mengambil berat tentang perkara yang lebih penting seperti soal agama.

Masalah dan gejala sosial yang berlaku pada hari ini hakikatnya berpunca daripada pendedahan kepada hiburan yang melampaui batas ini.Mana tidaknya,suasana di negara kita ini sendiri yang seolah-olah menggalakkan hiburan-hiburan menjadi sajian utama di rancangan-rancangan televisyen dan di majlis-majlis.

Secara perlahan-lahan,minda dan jiwa remaja kita semakin diracuni.Hari demi hari,belia kita semakin lemah dan tidak bermaya akibat hiburan yang berleluasa ini.Lebih menyedihkan,perkara ini disebabkan oleh orang kita sendiri.Bangsa kita sendiri.

Ramai orang melabelkan belia pada masa kini sebagai 'rosak' namun mereka tidak sedar bahawa mereka sendiri yang merosakkan belia-belia kita ini.Saya sangat bersetuju dengan pandangan abang Hilal Asyraf yang mengatakan bahawa belia pada hari ini sedang melalui proses pembodohan dan bukannya proses mengenal Allah SWT serta agama Islam.Anda boleh membaca tulisan Abang Hilal Asyraf ini yang nyata jauh lebih berilmu dari saya,mengenai peri pentingnya belia untuk masa depan.

Apa yang saya cuba hendak tekankan di sini ialah,bahawa betapa pentingnya kita sebagai belia untuk masa depan negara ini.Kita sudah selalu dengar kata-kata Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi,katanya "apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan,lihatlah generasi mudanya pada hari ini.Jika golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi,tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman dan makmur 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur' tapi jika keadaan adalah sebaliknya,maka bersedialah untuk menghadapi kemungkinan buruk yang akan berlaku."Tetapi,pernahkah kita berfikit mengenainya?

Saya juga pernah bertanya kepada diri saya,pernahkah aku berfikir tentang masa depan negara ini,dan yang paling penting tentang Islam itu sendiri.Bukankah kita yang sepatutnya menjadi tulang belakang negara kita,menjadi tunjang untuk kebangkitan Islam kembali.Itu yang sepatutnya kita lakukan!

Bukannya asyik berfikir mengenai perlawanan bola sepak EPL,La Liga,pasukan mana yang menang minggu ini.Bukannya asyik berfikir pemain mana yang mahu dimasukkan dalam pasukan Fantasy Premier League.Bukannya asyik mahu bermain futsal tiap-tiap hari.Bukannya asyik 'online' Facebook 24 jam,Twitter dan sebagainya.Bukannya asyik bermain permainan komputer FIFA Online,DOTA,Call Of Duty dan banyak lagi.Bukannya asyik menonton tv dan mendengar lagu-lagu.Bukan semua itu.

Betul,tidak salah untuk kita lakukan semua itu namun yang saya ingin tekankan ialah perlu ada batasannya.Jika keadaan itu berterusan,lama kelamaan kita akan menjauhi Allah SWT dan itulah perkara yang paling buruk untuk berlaku.Kemudian,peraturan-peraturan agama akan ditinggalkan dan diabaikan.

Kerana itulah ramai dalam kalangan kita remaja sekarang ini tidak tahu dan tidak faham akan agama kita sendiri.Kita menjadi buta dek diracuni dengan budaya Hedonisme yang semakin mejadi-jadi.

Lihatlah di masjid-masjid,surau-surau kita,golongan mana yang lebih ramai memenuhkan surau dan masjid?Golongan muda atau tua?Saya rasa kita tahu jawapan itu.

Tidak hanya itu,belia kita pada hari ini juga masih ramai yang kurang mengambil berat tentang hal politik dan sebagainya sedangkan perkara ini penting kerana kita belia inilah yang bakal meminpin negara suatu hari nanti.Ramai yang memberi alasan bahawa kita masih belum cukup umur untuk mengetahui hal-hal politik.Itu sebenarnya menandakan bahawa pemikiran kita masih beum matang.



Tetapi,pada saya,semua itu sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri juga.Pilihan di tangan kita sebenarnya.Sama ada kita mahu memilih perkara baik ataupun perkara buruk untuk diri kita.Benar,perkara baik itu pada zahirnya dilihat sebagai sesuatu menyusahkan dan perkara yang buruk itu dilihat sebagai sesuatu yang mengasyikkan dan menyeronokkan.Tapi,pernahkan kita terfikir mengenai hasil dan ganjaran daripada perkara baik dan keburukan akibat perkara buruk?Jarang.Kita hanya berfikir untuk jangka masa pendek sahaja.

Tidak saya nafikan terdapat ramai pemuda-pemudi di luar sana yang hebat-hebat belaka.Saya juga mempunyai sahabat-sahabat yang saya rasakan mampu untuk memimpin ummah ini pada masa akan datang.Namun,kita tidak patut hanya mengharapkan orang lain,tetapi kita sendiri haruslah berusaha untuk menjadi yang terbaik supaya generasi pemimpin Islam yang gemilang pada masa akan datang tidak lenyap.

Saya sedar suara saya kini amatlah lemah jika hendak dibandingkan dengan orang lain,namun setidak-tidaknya kita mestilah berusaha walau sekecil mana pun usaha kita itu kerana di akhirat kelak,Allah SWT tidak akan bertanya adakah kita berjaya,tetapi adakah kita berusaha untuk membantu agama Allah SWT. 

Marilah,wahai sahabat-sahabat belia yang saya hormati,marilah kita lakukan perubahan untuk megubah masa depan negara kita supaya lebih cerah.Yang lebih penting,Islam itu mesti ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun.Marilah kita mantapkan akidah kita kerana itulah perkara pertama Rasulullah SAW lakukan ketika mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyebarkan Islam.

Sebab itulah saya katakan,KUNCI PERUBAHAN ITU BERADA DALAM TANGAN KITA!

Wallahu'alam...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...